gambar sekadar hiasan |
Meskipun sudah jelas, dia seorang yang gatal tetapi dia tetap marah apabila dikata begitu. Berbeza lelaki, kebanyakan lelaki hidung belang bangga apabila disamakan seperti buaya darat.
Meninjau alasan mereka setiap kali menolak, status gatal atau perasan itu terlalu keras untuk dilabelkan. Malah ia kedengaran seperti tiada maruah untuk seorang wanita sedangkan ia memang realiti.
Sebuah majalah wanita sendiri pernah melaporkan yang hari ini lebih 50 peratus hubungan ia bermula daripada wanita yang memberi reaksi positif, minta untuk didekati dan mengharap ada lanjutan daripada si lelaki.
Perangai lelaki lebih kurang sama, mereka tidak sekali menunjukkan rasa minat ketara atau nampak terhegeh-hegeh walaupun mereka sememangnya minat dan suka berbanding wanita yang lebih mudah mengukir senyum jika tersentuh jiwanya.
Hakikatnya antara lelaki dengan wanita, memang tiada bezanya dalam soal ‘gatal’ ini. Kalau kita katakan lelaki miang itu sangat ramai, wanita gatal pun tidak kurang. Mereka ada di mana-mana contohnya di pejabat, di taman-taman perumahan, di institut pengajian, malah di mana saja.
Bezanya, lelaki tidak segan silu memperlihatkan sikap miang itu sedangkan wanita sedaya mungkin cuba menyembunyikannya bagi terlepas daripada gelaran ‘wanita berangan’ atau ‘syok sendiri’.
Kalau kita lihat dari perspektif lebih luas, lelaki yang gemar bergaul, banyak kenalan dan jenis periang adalah mereka yang lebih cenderung bersikap gatal atau mengurat. Tapi perlu diingat, tidak semua lelaki begitu berniat lebih sebaliknya mereka gemar mengusik saja bukannya ingin untuk ke fasa seterusnya.
Kebanyakan lelaki memang bersikap ‘test market’ walaupun sudah mempunyai teman wanita. Tapi sayangnya, wanita pula yang terlebih ‘feeling’ dan mudah sangat jatuh hati sedangkan ia hanya ‘crush’.
Siapa golongan wanita yang acap kali dilabel gatal?
Kebiasaannya gadis di sekolah menengah adalah golongan paling cepat memberikan reaksi jika diusik lelaki. Kiranya cinta monyet zaman persekolahan adalah fasa permulaan bagi kebanyakan gadis hari ini.
Tapi lebih kronik dan ada kalanya tidak boleh terlepas daripada gelaran sebegitu adalah setiausaha. Itulah stigma yang melekat pada masyarakat kita yang mana kerjaya ini sering kali dikaitkan dengan identiti wanita yang gatal.
Kasihan juga pada mereka yang kebetulan berkerjaya ini kerana tanggapan itu sudah sinonim dan sukar ditepis walaupun tidak semua bersikap begitu.
Andaian ini disebabkan kerjaya setiausaha selalunya memerlukan beberapa kriteria seperti cantik, bergaya dan bijak berkomunikasi terutamanya dengan majikan yang kebanyakannya lelaki yang sudah berkahwin.
Kerana itu juga mereka mudah dikaitkan menjalin hubungan atau menyimpan strategi untuk memancing selera majikan masing-masing ketika bekerja memandangkan lebih 80 peratus rutin tugasan mereka perlu bersama majikan itu.
Pada kebiasaannya, seorang setiausaha akan mengendalikan semua fungsi kesetiausahaan termasuk kerja-kerja memfailkan dokumen, menyemak surat-menyurat, mengendali panggilan telefon, mengatur mesyuarat serta menyambut tetamu ketuanya.
Oleh kerana sentiasa berurusan dengan pihak luar khususnya para pelanggan syarikat atau organisasi, seorang setiausaha perlu memiliki perwatakan menarik dan inilah salah satu elemen yang menyebabkan kebanyakan bos mudah terpikat kepada setiausahanya sendiri.
Jangan tipu, isteri kepada majikan pastinya akan terbit rasa cemburu atau paling tidak mencurigai keadaan itu kerana ada kalanya setiausaha perlu kerja lebih masa dan meluangkan masa dengan majikan mereka.
Isu mengenai cinta gelap antara setiausaha dengan bos lelaki ini masih menjadi persoalan dan pertikaian jika topik mengenai pejabat diutarakan.
Bagaimanapun setiausaha tidak semestinya seorang wanita. Lelaki juga boleh melaksanakan tugas ini malah ada kalanya lebih baik. Lihatlah setiausaha persatuan, setiausaha surau dan masjid, malah setiausaha negara adalah seorang lelaki.
Kalau dilihat mengapa stigma ini berlaku, ia berpunca daripada sikap sesetengah setiausaha itu sendiri. Tidak dinafikan, memang banyak kes membabitkan setiausaha wanita dengan majikan lelaki yang berlaku.
Bos lelaki itu sanggup curang dengan isteri dan anaknya malah lebih teruk ada yang ‘kantoi’ depan mata menjalin hubungan dengan setiausaha mereka sendiri. Maklumlah setiausaha cantik dan bergaya, lebih faham masalah dan tekanan majikan mereka di pejabat membuatkan majikan lelaki lebih selesa dengan layanan mereka berbanding isteri yang mungkin tidak memahami.
Penyelesaiannya? Tiada yang konkrit untuk melenyapkan masalah ini kerana semuanya bergantung kepada diri sendiri. Lebih baik jika majikan lelaki dibantu oleh setiausaha lelaki atau wanita yang sudah pun berkahwin dan mempunyai komitmen keluarga.
Kalau majikan wanita, ia lebih mudah kerana jarang sekali kita dengar kisah setiausaha lelaki menjalin hubungan dengan majikan wanita memandangkan wanita yang memegang status majikan akan lebih serius dan komited terhadap tugasnya.
‘Lady boss’ adalah gelaran untuk majikan wanita yang hampir kesemuanya tegas dan tidak akan melakukan benda remeh di pejabat, sebaliknya mereka bersikap fokus pada tanggungjawab.
Justeru kepada setiausaha wanita terutamanya yang muda, jagalah peribadi dan tingkah laku kerana setiap pergerakan anda diperhatikan. Apa saja dilakukan pastinya menjadi tanggapan dan mudah dinilai.
Itu kisah kerjaya yang acap kali dikaitkan dengan isu ini, tapi ada banyak lagi jenis wanita yang gatal dan cepat miang, cuma semuanya lebih mudah untuk dinilai sendiri.